SEJARAH PENUBUHAN SENI SILAT HARIMAU GAYONG MALAYSIA
Seni silat adalah sejenis ilmu beladiri yang diakui umum sebagai hak asli pusaka warisan melayu dan sebagai perisai diri. Berdasarkan penemuan tinggalan sejarah yang terdapat di Candi Borobodur dan Candi Prambanan di Jawa, dapatlah disimpulkan bahawa sudah wujud seni mempertahankan diri ini di kawasan kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi. Bermula dari kepulauan Riau,sistem beladiri ini dikatakan merebak ke Minangkabau, Sumatera. Di Sumatera, seni pertempuran ini diperhalusi lagi dan dikenali sebagai Pencak Silat. Ilmu silat ini pernah digunakan oleh kerajaan Srivijaya (abad ke-7 hingga abad ke-14) untuk memperluaskan empayarnya. Pada zaman kekuasaan Majapahit (abad ke-13 hingga abad ke-16), ilmu silat ini dikatakan telah mencapai kemuncak kesempurnaannya apabila penggunaan senjata juga disertakan.
Dari Minangkabau, silat diperkenalkan di Semenanjung Tanah Melayu melalui Melaka. Dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka, hanya golongan yang rapat dengan istana sahaja diberikan peluang untuk mempelajari silat. Seni silat ini akhirnya sampai ke pengetahuan rakyat jelata dan seterusnya menjadi suatu keseniaan desa. Laksamana Hang Tuah (Bapa Persilatan Melayu) dikatakan mempelajari seni silat daripada Sang Adi Putera di Gunung Ledang dan Sang Persanta Nala di Pulau Jawa (Majapahit).
Ada juga mengatakan seni silat ini telah pun bertapak di Nusantara dari kurun ke-4 lagi iaitu kerajaan Jambi di Sumatera. Beladiri ini mulanya berasal dari istana yang mana ilmu itu memenuhi dada Raja dan pengikut-pengikut baginda dalam penghijrahan dan mewujudkan pemerintahan. Sehubungan itu wujud kerajaan-kerajaan Melayu antaranya Langkasuka, Pura, Pasai, Acheh, Champa, Majapahit, Temasik dan Melaka. Diperakui kini, kerajaan Melayu asal meliputi Selatan Thailand iaitu Fatani, Kemboja, Filipina, Brunei, Malaysia, Indonesia dan Singapura. Di Malaysia, catatan bertulis dalam sejarah silat bermula zaman Paramesrawa pada kurun ke-12 sebelum membuka kerajaan Melaka. Disusuli cerita kehebatan Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah menangkap pencuri-pencuri ketika rondaan waktu malam di kota Melaka.
Kisah lima hulubalang Melayu Melaka iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu dari episod awal remaja menentang lanun, orang amuk, kemudian menuntut ilmu di Gunung Ledang hingga Hang Tuah menjadi Laksamana Melaka menggambarkan perjalanan penjurit-penjurit Melayu dalam dunia persilatan. Suntikan dari ilmu persilatan turut dapat dilihat apabila pahlawan-pahlawan Melayu tidak gentar menentang Portugis yang bersenjatakan meriam dan senjata api. Tentera Eropah itu pernah ditewaskan dalam percubaan pertama menakluk Melaka pada tahun 1509 sebelum berjaya dua tahun kemudian dengan jumlah armanda seganda iaitu hampir 20 buah kapal. Dalam Perang Dunia Kedua, ketika Jepun menakluk Tanah Melayu, pendekar-pendekar Melayu turut mempertahankan daerah dan kampung-kampung mereka. Apabila tentera komunis atau dikenali Bintang Tiga memerintah selepas pengunduran Jepun, pahlawan-pahlawan Melayu bangkit untuk menentang tentera itu yang bersikap tidak berperikemanusiaan. Pahlawan-pahlawan yang tersohor menentang penjajah Inggeris dengan ilmu persilatan antaranya adalah seperti Datuk Dol Said, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Mat Lela dan Tok Janggut. Manakala tentera Jepun dan komunis pula Lt Adnan, Kiyai Salleh dan Pak Hamid Jah. Perkembangan silat di luar istana sudah lama berlaku dan kisah Hang Tuah bersama teman-temannya berguru di Gunung Ledang menjadi bukti. Penaklukan dan pencerobohan penjajah turut menyumbang ilmu beladiri Melayu keluar dari istana dan aktif dengan penduduk-penduduk kampung. Silat terus dipelihara seperti di negara Indonesia, Brunei dan Singapura selain Malaysia dan dikembangkan ke luar negara terutama melalui sukan tempur iaitu silat olahraga.
Di Malaysia, silat bukan sahaja berkembang di sekolah-sekolah dan di pengajian tinggi kerana sudah terdapat perguruan-perguruan tertentu turut mengembangkan ilmu mereka hampir semua pelusuk dunia sepertimana beladiri-beladiri lain yang sudah terkenal. Disiplin beladiri itu seperti adab hormat-menghormati, penggunaan akal, tenang, sabar, pergerakan fizikal yang berstruktur dan sebagainya telah dikenal pasti satu riadah yang baik untuk kesihatan dan menjalinkan hubungan silaturahim tanpa mengira kaum dan agama.
Untuk menyempurnakan ilmu silat pengamal mestilah menghayati falsafah yang terkandung di dalam ilmu tersebut. Pada zaman dulu hampir kesemua orang mengamalkan ilmu silat. Tetapi Cuma beberapa yang layak digelar pendekar. Hanya mereka yang mempunyai keutuhan akhlak dan berkhemah tinggi mampu mencapai tahap ini.
Pada zaman ini wujud beratus-ratus perguruan silat Setiap perguruan mempunyai cara dan gayanya yang tersendiri. Tetapi umumnya asas silat ini boleh dibahagikan kepada dua “bunga” dan “buah”. Seni bunga adalah tari lembut dan gemalai sebagai gerak untuk mengelirukan lawan. Manakala buah pula adalah gerak langkah yang keras padu dan padat untuk menumpaskan lawan. Tetapi ada perguruan yang tidak menghiraukan seni bunga dan hanya mengajar buah.
Paduka Ayahanda Utama Dahari Kamarudin atau gelaran rasminya Pendita Guru Harimau Utama mula bergiat aktif dalam dunia persilatan sekitar tahun 1971 dari zaman kanak-kanaknya lagi sehinggalah ke hari ini dan telah mengasaskan Pertubuhan Seni Silat Harimau Gayong Malaysia yang berpusat di Gerik Perak iaitu tempat kelahiran beliau, sehinggalah dikembangkan di beberapa negeri seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Terengganu dan Kelantan. Kerana minat serta mempunyai latar belakang keluarga silat membuatkan beliau terus bersemangat untuk menuntut ilmu persilatan Melayu sehingga sanggup menempuh dengan pelbagai ujian yang diberikan oleh guru-gurunya. Walaupun kehidupan beliau yang amat daif dan susah ketika itu tidak menjadikan alasan buat beliau untuk terus menuntut ilmu dan mencari guru.
Sejarah kewujudan permainan silat didalam Pertubuhan Seni Silat Harimau Gayong Malaysia telah pun lahir sekian lama yang kemudiannya diolah kembali permainannya oleh Ayahanda Utama Dahari Kamarudin selaku pengasas dari gabungan dua aliran seni yang berbeza iaitu seni silat harimau dan seni silat gayong sekaligus mewujudnya permainan Harimau Gayong serta didaftarkan secara rasmi dengan nama Pertubuhan Seni Silat Harimau Gayong Malaysia. Pun begitu beliau juga turut menerapkan seni permainan silat lain seperti seni silat sendeng, seni silat minangkabau, seni silat gayong rajawali, seni silat pulut dan embo yang pernah dipelajari oleh beliau dari beberapa orang guru-gurunya antaranya ialah :-
1. Silat Minangkabau,1971 Gerik Perak.
(Guru Abdullah Bin Mat Piah).
2. Silat Sendeng,1976 Patani Thailand.
(Guru Paksu Yeh).
3. Silat Embo,1978 Baling Kedah.
(Guru Hamzah Bin Abdul Latih).
4. Silat Sendeng Kedah,1980 Baling Kedah.
(Guru Paklang Hassan).
5. Silat Pulut,1981 Gerik Perak.
(Guru Awang Kecik).
6. Silat Gayong Rajawali Dan Silat Harimau,1985 Indonesia.
(Guru Wak Hj Ismail).
7. Silat Gayong,1990 Gerik Perak.
(Guru Pakjang Ali Bin Noh).
8. Silat Gayong,1991 Sungai Limau,Kedah.
(Dato Mahaguru Mohd Hussain Bin Hj Mohd Salleh).
Kerana rasa sayangnya pada warisan Melayu khasnya seni silat membuatkan beliau terus bangkit untuk membangunkan gelanggangnya sendiri setelah diberi amanat untuk menjadi seorang guru sehinggalah ke hari ini. Awalnya gelanggang yang didirikan hanyalah di tepi sungai perak berhampiran rumah beliau dan pada ketika itu penglibatan anak bangsa hanyalah dalam lingkungan 60 orang sahaja sehinggalah dikembangkan gelanggang cawangan melalui kampung-kampung yang ada di Gerik Perak, hampir dikatakan 70 ke 80% masyarakat gerik perak adalah dari kalangan murid-muridnya tanpa mengira peringkat usia. Namanya juga tidak asing lagi bagi masyarakat Gerik dan dalam dunia persilatan Melayu khasnya sehinggalah beliau dikenali di serata negeri seluruh Malaysia.
Walaupun begitu bukanlah nama yang menjadi tunjang perjuangannya tetapi ilmu yang diamanahkan oleh guru-gurunya buat anak bangsa agar dapat dikembangkan diseluruh pelusuk negeri bagi melahirkan pesilat-pesilat yang hebat, berilmu, berdisplin, beradat, beradab dan berakhlak mulia serta dapat mengangkat warisan ini agar tak ditelan zaman sehinggalah kepada pewaris yang mendatang.
Keperibadian beliau yang bersifat seperti seoarng ayah membuatkan lahir hubungan erat dikalangan anak-anak muridnya malahan masyarakat yang mengenali beliau sepertimana tiga perkara yang diterapkan oleh beliau di dalam Pertubuhan Seni Silat Harimau Gayong Malaysia iaitu kasih sayang, kekeluargaan dan persahabatan.
Comments
Post a Comment